19 Februari 2010

NasiHaT

Rasulullah s.a.w telah bersabda (maksudnya) :
"Agama itu adalah nasihat!" Kami bertanya : "Untuk siapa, ya Rasulullah?"
Baginda menjawab : "Untuk Allah, Rasul-Nya, kitab-Nya, pemimpin kaum
muslimin dan orang awam mereka."

Nasihat ada fungsi dan perana tersendiri dalam hidup masyarakat kita. Islam amat menekankan soal nasihat ini, bahkan ia adalah suatu kemestian jika diminta, dan ia mestilah dilakukan mengikut aturan, etika dan akhlaknya. Janganlah sampai melencong dari tujuannya yang sebenar sehingga ia memberi kesan yang sebaliknya.
Kaum wanita sudah tentu merupakan mereka yang paling memerlukan nasihat dan tunjuk ajar. Justeru, amatlah penting menitikberatkan mengenai adab-adab menasihati orang supaya tercapai maksud dan tujuan nasihat itu sendiri. Dikatakan demikian adalah kerana kaum wanita mempunyai perasaan yang halus dan mudah tersinggung dalam pergaulan.
Pertama, hal yang paling penting dari adab nasihat itu ialah niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t. Dengan kata lain, tujuan seseorang memberi nasihat itu ialah untuk mencari redha Allah semata-mata. Nasihat bukan bermaksud untuk menasihati orang lain kerana orang itu jahat, lebih-lebih lagi kerana mahu menyakiti hatinya, atau kerana ingin menunjukkan bahawa kita lebih baik daripadanya.
Kedua, kita harus lebih dahulu yakin bahawa orang yang kita nasihati itu perlu diberi nasihat, sama ada kerana dia berbuat salah, lalai dan yang seumpamanya, dan nasihat kita hanyalah kerana ingin memperbetulkan keadaan atau meluruskan kesalahannya. Maka tidak harus memberi nasihat kepada orang lain atas dasar keraguan, khabar angin atau cakap-cakap orang yang tidak pasti kebenarannya.
Ketiga, kita harus memilih penyampaian serta cara yang paling baik, jauh dari menyakiti atau menyinggung perasaannya. Dan Rasulullah s.a.w. lebih mengutamakan penyampaian secara tidak langsung apabila memberi nasihat kepada orang lain. Contohnya, "Mengapakah mereka melakukan begini dan begini?"
Keempat, kita mesti mampu memilih waktu yang sesuai untuk memberi nasihat, kerana tidak akan diterima nasihat kita itu jika orang yang dinasihati sedang dalam keadaan sangat marah atau dalam keadaan yang tidak memungkinkan dia menerima sebarang saranan dan nasihat. Bahkan jika diteruskan juga pasti akan ditolaknya dan dia bukan sahaja tidak menurut, bahkan besar kemungkinan dia akan melakukan dia akan melakukan perkara yang sebaliknya.
Kelima, kita harus dapat memilih tempat yang sesuai dan tepat kerana nasihat di hadapan orang ramai akan menjadi skandal dan fitnah yang memalukan serta mengaibkan. Itulah sebabnya kita perlu menitikberatkan adab-adab memberi nasihat agar kita beroleh apa yang dihajati dari nasihat tersebut, supaya masyarakat kita dapat mengamalkan serta mempraktikkan budi pekerti yang tinggi dan akhlak yang baik.
nasihat menasihati amat penting dalam kita mengharungi hidup yang penuh ranjau dan mehnah ini. Apalah gunanya kita berada dalam satu saf andainya masing-masing membawa haluan sendiri......