04 Julai 2010

FIBROMYALGIA


Fibromyalgia merupakan suatu masalah kesihatan yang tidak diketahui punca sebenarnya atau lebih tepat lagi, dianggap misteri. Masalah ini biasanya terjadi dan menyerang wanita, tidak kira sama ada muda atau dewasa. Mengikut kajian di internet, penyakit ini kebiasaannya didapati di negara-negara seperti Sweden, Amerika Syarikat dan sekitarnya. Di Malaysia, penyakit ini jarang ditemui atau dengan lebih tepat, tiada kes yang dilaporkan.


Ia boleh menyebabkan seseorang itu menjadi lesu, sakit pada hampir seluruh otot badan selain mengakibatkan penghidapnya berasa serba tidak kena atau menjadi gelisah. penyakit fibromyalgia akan menyebabkan sakit, tegang dan bengkak pada bahagian otot, tendon dan sendi, sekali gus menjejaskan keupayaan bekerja atau untuk melakukan aktiviti harian.


Sesetengah pakar perubatan berpendapat fibromyalgia kemungkinan disebabkan penghidapnya mempunyai sel saraf terlalu sensitif dan bahan kimia dalam otak (neurotransmitter) keluar daripada keseimbangan atau berkaitan dengan masalah dengan fasa dalam tidur tetapi tiada fakta yang boleh menyokongnya, sekali gus menyebabkan ia menjadi sungguh `unik'.


Berikutan keunikan fibromyalgia itu, sekumpulan pakar dari seluruh Asia Tenggara cuba menjalankan kaji selidik mengenai penyakit berkenaan menerusi program Kaji Selidik Kesedaran, Kebimbangan dan Gaya Fibromyalgia Asia Tenggara (S.E Asia FACTS) yang diketuai Presiden Persatuan Pengajian Kesakitan Kronik Thailand, Prof Bersekutu Pradit Prateepavanich. Kaji selidik itu mendapat sokongan Pfizer Inc dan segala datanya dikumpul selama sebulan sejak Jun lalu dibentangkan kepada media dari Malaysia, Indonesia dan Thailand di Bangkok, Thailand, baru-baru ini. Kaji selidik itu dibentangkan sendiri oleh Prof Pradit dan Ketua Kawalan Kesakitan Klinik Makati di Pusat Perubatan Makati, Filipina, Dr Henry Lu.


Kaji selidik berkenaan membabitkan 506 responden awam dan 941 doktor di lima negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Singapura, Filipina, Malaysia dan Indonesia. Hasilnya menunjukkan bahawa fibromyalgia kurang difahami sama ada oleh responden awam atau doktor sendiri hingga menyebabkan pesakit terpaksa menunggu antara tiga hingga empat bulan untuk diagnosis.


Kaji selidik juga mendedahkan pesakit yang mempunyai pengalaman fibromyalgia akan mengalami konsekuensi kewangan yang serius kerana tidak mampu bekerja hingga menyebabkan hidup mereka semakin tertekan. fibromyalgia disifatkan sebagai sesuatu yang umum tetapi ia kronik, tersebar luas dan sudah mempengaruhi 40 juta orang di seluruh dunia. Data saintifik menyokong konsep `neuron hiper-sifat dapat dirangsang di bahagian pemprosesan dan emosional dalam otak' dan ini menjelaskan kenapa pesakit fibromyalgia lebih peka terhadap rasa sakit, sakit lebih teruk daripada orang lain, pesakit miskin yang sangat respons terhadap tekanan.


Fibromyalgia biasanya disertai kurang tidur, simpulan dan kelelahan. Perempuan lebih senang mengalaminya berbanding lelaki dengan nisbah 9:1. Secara umumnya, kesakitan akibat fibromyalgia selalunya bermula daripada otot dan boleh berlaku pada dua bahagian tubuh sama ada di bawah atau atas paras pinggang yang menjejaskan leher, punggung, bahu, lengan, bahagian atas badan dan dada. Simptom fibromyalgia juga berbeza bagi setiap penghidapnya iaitu hampir 90 peratus pesakitnya akan berasa keletihan yang keterlaluan yang dikaitkan dengan pola tidur yang luar biasa disebabkan tidak mendapat kualiti tidur yang cukup kerana biasanya akan kerap terjaga daripada tidur dan sukar melelapkan mata kerana sakit otot. pesakit fibromyalgia juga biasanya akan mengalami gangguan emosi yang boleh dilihat menerusi masalah seperti kurang tumpuan, mudah lupa, perasaan mudah berubah-ubah, tertekan dan kerisauan.


Disebabkan punca fibromyalgia tidak diketahui, tiada satu rawatan khusus untuk membantu melegakan simptom berkenaan. Oleh itu, perbincangan dengan doktor membantu memastikan rawatan terbaik tetapi biasanya akan mengambil pil atau ubat melegakan otot serta senaman terapi yang dikenal pasti juga boleh membantu.

0 ulasan: